Kemarau dan kebuluran yang panjang Umar_Al-Khattab

Pada tahun 638, Tanah Arab mengalami kemarau dan diikuti dengan kebuluran. Kebanyakan kaum Badwi mula mati akibat kelaparan dan wabak. Lama kelamaan, rizab makanan di Madinah pula semakin berkurangan, dan Umar mengutus surat kepada gabenor di Syria, Palestin, dan Iraq untuk menghulurkan bantuan. Keadaan darurat diumumkan di Madinah dan Semenanjung Tanah Arab. Gabenor yang pertama menyahut seruan itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah, gabenor Syria yang juga merupakan panglima tentera ketika itu. Beliau membalas dengan satu surat yang tertulis:

Saya menghantar buatmu kafilah yang satu hujungnya di Syria dan satu lagi di Madinah.

Kemudian, Abu Ubaidah sendiri turun melawat Madinah dan bertindak sebagai pegawai pengurusan bencana yang diketuai sendiri oleh Umar. Sebaik sahaja bekalan catuan mencukupi di Madinah, Umar mengerahkan orangnya untuk ke laluan Iraq, Palestin, dan Syria agar bekalan yang lain dihantar ke kawasan pedalaman Arab yang kemudiannya menyelamatkan jutaan nyawa daripada kebuluran. Bagi pelarian yang memohon perlindungan di Madinah pula, umar mengadakan makan malam setiap hari dan dianggarkan lebih dari seratus ribu rakyat yang hadir untuk menumpang makan.[5] Menjelang awal tahun 639, keadaan semakin pulih. Tanah Arab mula menerima hujan dan Umar sendiri menyelia perpindahan semula pelarian. Mereka diberikan catuan makanan yang mencukupi dan dikecualikan daripada zakat untuk tahun tersebut dan tahun seterusnya.